Tips Penjimatan Di Tahun Baru 2010

Dalam kita melakukan penjimatan, kita juga wajib menjaga wang kita daripada dibazirkan. Ianya amat penting bagi menampakkan hasil yang lebih berkesan dalam teknik penjimatan kita. Oleh itu, tahun 2010 adalah satu permulaan yang amat sesuai untuk kita untuk mengamalkan 5 perkara yang dinyatakan dibawah:


1) URUS PERBELANJAAN DENGAN BIJAK!
Sebagai permulaan, kaji semula perbelanjaan anda dan kenal pasti perbelanjaan tetap dan boleh ubah. Bagi perbelanjaan boleh ubah seperti makan di tempat kesukaan atau membeli belah, anda boleh mengurangkan atau mengehadkan kekerapannya dan apa yang diperlukan adalah sedikit disiplin dan perubahan kepada aktiviti sosial anda.

Perbelanjaan tetap pula ialah perbelanjaan yang tidak boleh dielak atau dikurangkan terus untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan anda. Perkara yang selalunya dalam kategori ini melibatkan perbelanjaan besar seperti:
~ Pembiayaan rumah, kenderaan atau pinjaman pendidikan
~ Bil-bil utiliti seperti air, elektrik, telefon dan Internet.



2) JADILAH PENGGUNA BIJAK!
Berkemungkinan akan tiba masanya kerajaan akan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi seperti mengurangkan kadar faedah untuk menggalakkan orang ramai berbelanja. Anda boleh mendapat manfaat daripada pakej ini dengan mencari kadar yang lebih murah dan tawaran yang lebih baik untuk membiayai semula gadai janji yang ada.

Terdapat pelbagai pakej yang ditawarkan oleh bank-bank perdagangan dan anda hanya perlu memilih tawaran yang terbaik,
iaitu yang boleh menjimatkan kadar faedah yang dibayar. Langkah ini semestinya boleh menjimatkan wang anda dalam jangka masa panjang.



3) KAWAL PERBELANJAAN ANDA!
Ketika cuba mengurangkan kadar faedah yang dibayar dan memberi lebih nilai untuk wang, anda sepatutnya tidak lagi berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Segala usaha anda dalam berjimat-cermat akan menjadi tidak berguna jika wang tunai berkurangan dan komitmen lain bertambah. Jadi, cuba kawal perbelanjaan anda. Ingat! Hanya berbelanja untuk keperluan dan tangguhkan apa yang boleh.



4) HADKAN PENGGUNAAN KAD REDIT!
Jika anda gemar berbelanja menggunakan kad kredit tanpa sebarang rasa bersalah, sudah tiba masanya sifat tersebut dikikis. Dengan kebanjiran pelbagai jenis kad kredit di pasaran, sudah menjadi lumrah untuk seseorang memiliki banyak kad kredit. Kad kredit memang memberi kemudahan, namun ia boleh menyusahkan jika anda tidak berdisiplin apabila menggunakannya. Dengan kad kredit, anda sebenarnya berbelanja menggunakan duit yang anda tidak ada pada masa ini. Lagi banyak anda berbelanja dan berhutang dengan bank, lagi tinggi bayaran dikenakan selepas dicampur dengan bayaran kadar faedah dan caj-caj lain.

Oleh sebab itu, bagi menguruskan perbelanjaan anda dengan lebih baik, hadkan penggunaan kad kredit kepada satu atau dua kad sahaja serta sentiasa awasi baki bulanan yang ada. Elakkan hutang kad kredit anda daripada terus bertambah dan jika boleh, jelaskan kesemua hutang kad kredit setiap bulan.

Kegagalan untuk menyelesaikan hutang kad kredit boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk. Jika anda
melihat kepada bilangan orang yang telah muflis di Malaysia, anda akan dapati jumlah tersebut agak membimbangkan, tambahan pula ramai daripadanya terdiri daripada golongan muda.



5) BINA SIMPANAN ANDA!
Apabila anda telah mampu menguruskan wang, besar kemungkinan anda mempunyai lebihan wang tunai. Gunakan lebihan ini untuk membina simpanan. Simpanan ini hendaklah mampu bertahan selama 6 bulan untuk menanggung perbelanjaan kehidupan seharian. Andaikan anda diberhentikan kerja, manalah tahu... Jangan pula gunakan pampasan tersebut untuk mengubah suai rumah atau membeli kereta baru. Ia adalah simpanan anda. Simpan untuk waktu-waktu kecemasan. Jika anda mempunyai lebihan daripada simpanan, anda boleh ke langkah seterusnya.


Dibawah adalah langkah seterusnya jika anda telah berjaya melakukan simpanan hasil penjimatan anda...!
Jika tiada simpanan, adalah mustahil untuk anda melakukan langkah ke-6 dibawah ini:


LANGKAH KE-6 BAGI MENGKAYAKAN DIRI ANDA.

6) CARI PELUANG-PELUANG PELABURAN HALAL YANG ADA...!

Inside of every problem lies an opportunity - Robert Kiyosaki

Kebanyakan orang gagal kerana apabila peluang datang, mereka tidak mampu kerana tiada lebihan wang, tiada simpanan kerana tidak pernah melakukan penjimatan. Anda pasti tidak mahu termasuk dalam golongan ini. Jadi, mulakan tahun 2010 anda dengan cemerlang.

Sebenarnya, ketika waktu yang tidak menentu maka akan muncul peluang-peluang yang baik dalam pelaburan, tidak kira dalam pasaran saham, hartanah atau produk pelaburan yang lain. Oleh itu, jika anda mempunyai lebihan wang, pelajari kaedah dan carilah peluang-peluang pelaburan yang ada dengan mengambil kira tahap toleransi risiko anda.

Walaupun begitu, anda perlu berhati-hati dengan keputusan pelaburan yang dibuat terutamanya apabila anda melabur dengan wang hasil titik peluh dan penat lelah anda. Dengan perancangan dan disiplin diri, anda mampu untuk mengharungi apa juga keadaan ekonomi di tahun 2010.


Semoga berjaya...!

--------------------------------------------
Thanks bro razif yusof for article sharing,
--------------------------------------------

No comments:

Post a Comment