Berita Harian Online | Johor: Naik taraf LPG mula tahun depan

Berita Harian Online | Johor: Naik taraf LPG mula tahun depan

Johor: Naik taraf LPG mula tahun depan
Oleh Kalam Hadi
bhnews@bharian.com.my
2010/11/29
PASIR GUDANG: Kerja menaik taraf serta membina enam lorong di Lebuhraya Pasir Gudang (LPG) dijangka bermula tahun depan dengan peruntukan sekitar RM150 juta diluluskan menerusi peruntukan Rancangan Malaysia ke-10 dan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk disiapkan.

Sehubungan itu, pengguna LPG diharap bersabar sementara menunggu keputusan dibuat bagi membolehkan lebuh raya berkenaan diperbaiki bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata LPG digunakan ketika ini sudah tidak mampu lagi menampung keperluan pengguna jalan raya yang meningkat dengan mendadak berikutan perkembangan pesat Pasir Gudang sejak beberapa tahun lalu.
Berikutan itu, katanya wajar LPG diperbesarkan serta dinaiktaraf kepada enam lorong bagi memberikan keselesaan kepada pengguna lebuh raya berkenaan selain mengatasi masalah kesesakan yang kerap berlaku di situ.

Beliau berkata, pihaknya juga masih menunggu laluan kedua Permas Jaya ke Pasir Gudang melalui Taman Rinting siap sepenuhnya tahun depan bagi membolehkan laluan pintas digunakan sebagai satu daripada alternatif kepada kenderaan dari Bandar raya Johor Bahru ke Pasir Gudang tanpa menggunakan laluan biasa.

"Semua ini masih berada di dalam perancangan kerana antara isu utama menghantui penduduk sekitar Pasir Gudang ketika ini adalah masalah kesesakan LPG yang semakin ketara.".

"Kita tidak boleh lagi berharap sepenuhnya kepada LPG sedia ada dan perlu mencari alternatif lain termasuk mungkin menggunakan Lebuhraya Senai-Desaru bagi kenderaan berat. Ini juga mungkin boleh mengurangkan kesesakan jika keadaan amat memerlukan," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi, berkata pembangunan pesat kawasan Pasir Gudang serta pembukaan beberapa taman perumahan baru menyebabkan peningkatan jumlah penduduk terutama di Bandar Baru Seri Alam.

Menurutnya, pembukaan beberapa pusat pengajian tinggi serta kolej sekitar Pekan Masai dan Kong Kong juga menyebabkan keperluan terhadap sistem jalan raya lebih selesa amat diperlukan" katanya.

Sementara itu seorang pengguna tetap LPG, Syed Hassan Syed Alwi, 43, berharap pembinaan lebuh raya berkenaan daripada tiga lorong kepada enam lorong dapat dilaksanakan mengikut jadual kerana pengguna sudah terlalu lama menunggu untuk mendapatkan kemudahan lebih selesa untuk kegunaan mereka.

Menurutnya, beliau hampir setiap hari menggunakan LPG sudah tidak tahan lagi berhadapan dengan kesesakan walaupun berlaku kemalangan kecil di lorong bersebelahan.

Sehubungan itu beliau berharap Kerajaan Pusat memberi lebih keutamaan kepada usaha menaiktaraf LPG kerana Pasir Gudang adalah antara kawasan industri yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di selatan tanah air.

1 comment: