Johor: Bina segera jalan pintas

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Binasegerajalanpintas/Article/index_html
Oleh Kalam Hadi

2010/11/25
Laluan jimatkan masa ke Kawasan Perindustrian Pasir Gudang

PASIR GUDANG: Kira-kira 3,000 penduduk di tiga taman perumahan sekitar Taman Flora Height, di sini merayu kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu pembinaan jalan pintas menghubungkan taman berkenaan ke Taman Scientex dan Taman Nusa Damai yang kini berlarutan sejak lebih lima tahun lalu.

Penduduk mendakwa pembinaan jalan pintas sepanjang empat kilometer yang kini masih tertangguh pembinaannya mampu memendekkan perjalanan penduduk dari Bandar Baru Seri Alam, Taman Flora Height, Taman Scientex dan Taman Nusa Damai untuk ke Kawasan Perindustrian Pasir Gudang sehingga kurang dari 10 minit berbanding kira-kira 45 minit, jika melalui jalan utama Taman Flora Height.
Ketika ini, jalan pintas sedia ada yang melalui Jalan Kenanga di Taman Flora Height hanya boleh dilalui kenderaan berat termasuk motosikal berkuasa tinggi untuk ke Taman Scientex yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit.
Jurucakap Penduduk Taman Flora Height, Zulkifli Isa, 44, berkata sebelum ini, beberapa pihak termasuk Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sudah mengadakan rundingan dan persetujuan awal bagi membina laluan jalan pintas yang memerlukan kos lebih RM5 juta membabitkan beberapa pemaju perumahan berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini keputusan berhubung pihak yang bakal membiayai kos pembinaan laluan pintas itu masih tidak mendapat kata putus kerana beberapa perkara belum dapat diselesaikan.

Beliau yang juga Ketua UMNO cawangan Taman Flora Height berkata, beberapa Jawatankuasa Penduduk Taman Flora Height turut terbabit mengadakan rundingan bersama pihak berkaitan sejak menduduki taman perumahan di situ tetapi sehingga kini masih belum ada keputusan mengenainya.

“Kami dapati hal ini hanya selesai jika ada campur tangan daripada kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sepatutnya mewakili Kerajaan Pusat bagi membantu membina jalan pintas yang sangat dinantikan oleh penduduk di sini.
“Bayangkan, jika jalan pintas di sini dibina, pasti akan mempercepatkan lagi perjalanan puluhan ribu pekerja kilang dan buruh awam sekitar taman perumahan ini yang bekerja sekitar Kawasan Perindustrian Pasir Gudang,” katanya.

Pengerusi Surau Taman Flora Height, Zainal Abidin Juraimi, 46, berkata pembinaan laluan pintas dari Taman Flora Height ke Taman Nusa Damai mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan laluan berkenaan yang kebetulan menjadi kawasan pembinaan beberapa pusat pengajian tinggi dan kolej swasta sekitar Bandar Baru Permas Jaya.

Katanya, laluan jalan pintas berkenaan kebetulan terlalu hampir dengan tapak kampus UiTM Pasir Gudang, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru, bangunan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) cawangan Pasir Gudang dan kampus Masterskill Johor Bahru.

“Kami yakin pertumbuhan ekonomi di taman ini akan menjadi semakin rancak dengan adanya jalan pintas kerana ia menjadi tumpuan ramai penduduk dan pekerja kilang untuk ke Kawasan Perindustrian Pasir Gudang,” katanya.

Ni satu lagi benda yang memang aku tak puas hati semenjak aku pindah ke Taman Scientex 2 tahun lepas....
rasanya orang MPPG tido lebih kot....ataupun buat2 tak nampak kalau jalan dari Kota Masai, Taman Cendana, Taman Scientex, Nusa Damai....madang sesak je pagi petang......
Kalau tak hujan OK lagi.....kalau hujan? alamatnya ramai yang masuk lambat pagi2.....

Buat sesuatu MPPG.....

p/s : Seb baik masuk keje kul 9......

No comments:

Post a Comment